“Ease of doing business” – Perbandingan Antara Malaysia-Singapura

Pegawai Penyelidik: Muhammad Latif Khalfi Bin Jaafar

20 Mei 2022

Keadaan dunia pada hari ini semakin berubah menjadi lebih mudah dan pantas, hal ini disebabkan perkembangan pesat teknologi yang memacukan kepada perkembangan segala urusan kita. Antara perkara mengalami kemajuan ialah mengenai ease of doing business atau mesra niaga yang membawa maksud sistem ranking sesebuah negara dalam melakukan perniagaan. Segala urusan perniagaan seperti permohonan lesen atau permit menjadi lebih mudah, sistem pemprosesan yang ringkas dan pantas serta tanpa urusan birokrasi yang banyak.

Namun begitu, keadaan yang berbeza telah berlaku di Malaysia apabila terdapat beberapa buah syarikat asing telah berpindah keluar dari Malaysia. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada scenario ini, antaranya ialah keadaan pasaran yang lemah, penurunan jualan dan permintaan serta peningkatan kos operasi. Ketidakstabilan politik dan juga pertukaran SOP telah memaksa sebahagian syarikat asing untuk menutup operasi di negara ini. Keadaan begini akan menyukarkan lagi syarikat asing untuk beroperasi di Malaysia. Selain itu, faktor mesra niaga juga menjadi nadi penting dalam menarik syarikat-syarikat asing.

Apakah yang dimaksudkan dengan mesra niaga?. Menurut Pawan Kumar dan Dilip Kumar (2021), mesra niaga bermaksud hasil gabungan undang-undang dan proses yang dipermudahkan seperti urusan cukai, memudahkan operasi perniagaan dengan sokongan berstruktur seperti pengangkutan, perundangan, sistem perbankan dan kewangan yang kondusif kepada perniagaan. Berdasarkan kedudukan mesra niaga di peringkat global, Malaysia berada di kedudukan ke12 dan ianya kelihatan baik berbanding negara-negara lain. Namun, negara jiran iaitu Singapura berada dalam kedudukan lebih baik serta mampu menarik lebih banyak lagi syarikat asing untuk masuk ke negara kota tersebut.

Singapura adalah sebagai contoh terbaik dalam pengurusan ease of doing business. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada negara kota tersebut. Berdasarkan rekod Bank Dunia, Singapura berada di kedudukan kedua terbaik dunia selepas New Zealand pada tahun 2020. Walaupun memiliki saiz negara dan populasi yang kecil, mereka telah berhasil dalam meningkatkan prestasi urusan perniagaan agar dapat menarik lebih ramai lagi para pelabur asing. Berdasarkan laporan profil ekonomi Singapura, proses untuk memulakan perniagaan hanya memakan masa selama kurang daripada satu hari. Manakala bagi kelulusan pekerja asing hanya memakan masa tujuh hari berbanding Malaysia yang mengambil masa sehingga enam bulan. Manakala untuk mendaftar insurans pekerja pula mengambil masa satu hari sahaja. Antara kelebihan dalam Singapura ialah mereka hanya menggunakan sistem atas talian bagi segala urusan pendaftaran atau permohonan dan tidak perlu sebarang pergerakan fizikal. Kita boleh mengikuti Langkah sebegini untuk memudahkan urusan perniagaan. Tambahan pula dengan kesukaran untuk bergerak secara fizikal akibat penyebaran wabak Covid-19, penggunaan digital amat diperlukan ketika ini.

Satu lagi elemen yang memudahkan urusan perniagaan di Singapura ialah sistem perundangan yang kukuh dalam melindungi hak serta kepentingan para peniaga. Sebagai salah sebuah negara yang memiliki sistem perundangan yang kuat, para peniaga dan juga pelabur tidak perlu risau dengan sebarang kerenah birokrasi dan korupsi. Urusan perniagaan akan menjadi lebih stabil tanpa sebarang kesukaran dan ancaman terhadap perniagaan dan pelaburan.

Dasar Singapura yang mesra niaga turut menjadi tarikan utama kepada banyak perdagangan seperti sektor pembuatan dan kewangan untuk bertapak di negara tersebut. Dasar yang tidak terlalu lama dalam membangunkan perniagaan serta struktur perundangan bersifat terbuka dan menjimatkan kos menjadi faktor utama dalam sesebuah perniagaan dari dalam dan luar negara berminat untuk beroperasi di Singapura. Seterusnya adalah perbandingan dari segi kos, masa dan prosedur dalam memulakan pernigaan di Singapura dan Malaysia.

Dengan kelebihan ekosistem perniagaan yang menempatkan pelbagai jenis kemudahan, sesebuah perniagaan akan memperoleh manfaat seperti kemudahan dalam membina hubungan dalam perniagaan seperti mencari pakar dan rangkaian, penempatan sesebuah perniagaan bersama rakan kongsi serta mudah untuk mencari rakan kongsi kerana kebanyakan syarikat atau perniagaan telah ditempatkan dengan lokasi yang dekat agar memudahkan perhubungan sesama mereka. Berikut adalah langkah awal yang boleh diambil Malaysia dalam memperbaiki proses ease of doing business:

  • I. Memendekkan masa proses pendaftaran atau permohonan permit, lesen dan kelulusan untuk mengambil pekerja asing
  • II. Memperluaskan lagi kemudahan internet
  • III. Memperbaiki dan meluaskan lagi penggunaan sistem digital
  • IV. Mengurangkan proses dalam segala urusan pendaftaran atau permohonan
  • V. Mengkaji semula proses dalam agensi Pusat Sehenti dan;
  • VI. Membina agensi Pusat Sehenti untuk kelulusan permit, lesen, permohonan untuk memulakan niaga serta pengambilan pekerja asing.

Malaysia memerlukan proses kejuruteraan semula perniagaan dalam memperbaiki kedudukan mesra niaga dan menarik syarikat asing untuk beroperasi di negarai ini. Proses kejuruteraan semulaperniagaan atau business reengineering process adalah membentuk semula teras perniagaan dalam memperbaiki semula operasi untuk mencapai hasil yang lebih baik dan berkualiti. Dengan penstrukturan semula segala proses di peringkat agensi kerajaan, sesebuah perniagaan dapat dimulakan dengan lebih cepat, kelulusan untuk projek pembangunan atau permohonan lesen dalam masa yang singkat turut meningkatkan produktiviti seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Antara lima Langkah utama dalam proses kejuruteraan semula perniagaan adalah:

  • Fokus semula kepada nilai prinsip organisasi dan kehendak pengguna
  • Membentuk semula proses utama (permohonan lesen, permit, atau pekerja asing) dengan menggunakan teknologi yang membolehkan penambahbaikan
  • Mengatur semula sesebuah agensi ke dalam cross functional teams dengan tanggungjawab untuk memperbaiki proses dari permulaan ke penghujung
  • Nilai semula asas sebuah organisasi atau agensi serta isu dalam tenaga kerja
  • Memperbaiki proses urus tadbir dalam keseluruhan agensi

Kesimpulannya, dengan mengikuti jejak Singapura akan membuka lebih banyak ruang kepada peluang perniagaan namun begitu negara kita hendaklah mengecapi kemajuan terlebih dahulu seperti memaksimumkan kemudahan internet dengan kapasiti yang laju agar dapat mempermudahkan lagi segala urusan tanpa fizikal. Dengan mengikuti langkah-langkah awal yang telah dicadangkan, ia menjadi satu laluan kepada negara kita memperbaiki kedudukan ease of doing business.

Rujukan:

Airport Economist. (2016, 4 Disember). Doing business in Singapore. [Video]. YouTube.
https://www.youtube.com/watch?v=u6us_JPSw0c.

APHD Channel. (2020, 20 Januari). Bagaimana Singapura Menjadi Negara Maju Dan Kaya. [Video].
YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=v4EnYbpKr70&t=405s.

Bain & Company. (2018, April 1). Business Process Reengineering. Bain & Company.
https://www.bain.com/insights/management-tools-business-process-reengineering/.

Ming, L. S. & Yong, N. K. (2021, 17 Ogos). Policy Uncertainty Remains a Major Consideration for
Businesses in Penang and Malaysia. Penang Institute.

https://penanginstitute.org/publications/issues/policy-uncertainty-remains-a-major-consideration-for-businesses-in-penang-and-malaysia/.

Krishnan, D. B. (2022, 7 April). ‘Speed up foreign worker approval’. New Strait Times.
https://www.nst.com.my/news/nation/2022/04/786629/speed-foreign-worker-approval.

Kumar, P. & Danyakumari. (2017, 7 November). Over 40 foreign companies ceased operations in Malaysia. The Malaysian Reserve. https://themalaysianreserve.com/2017/11/07/40-foreign-
companies-ceased-operations-malaysia/.

Kumar, P., & Kumar, D. (2020). Ease of Doing Business: A critical overview. Aegaeum Journal, 8(9), 587-598.

Rikvin. Why Singapore is Preferred by Foreign Companies.
https://www.rikvin.com/incorporation/why-singapore-is-preferred-by-foreign-companies/.

Singapore Legal Advice. (2019, 1 April). How to Hire Foreign Workers in Singapore.
https://singaporelegaladvice.com/law-articles/how-to-hire-foreign-workers-in-singapore/.

The Economic Times. Definition of ‘Ease of Doing Business’.
https://m.economictimes.com/definition/Ease-of-Doing-Business?from=desktop.

The World Bank Group. 2020. Doing Business.
https://www.doingbusiness.org/content/dam/doingBusiness/country/s/singapore/SGP.pdf.

The World Bank Group. 2020. Economy Profile of Malaysia.
https://www.doingbusiness.org/content/dam/doingBusiness/country/m/malaysia/MYS.pdf.

The World Bank Group. 2020. Economy Profile of Singapore.
https://www.doingbusiness.org/content/dam/doingBusiness/country/s/singapore/SGP.pdf

The World Bank Group. 2021. Ease of doing business rank.
https://data.worldbank.org/indicator/IC.BUS.EASE.XQ.