Kepadatan Kawasan Letak Kereta di Kuching

Pegawai Penyelidik: Muhammad Latif Khalfi Bin Jaafar

23 April 2022

Kepadatan Kawasan Letak Kereta di Kuching

Ibu negeri Sarawak, iaitu bandar Kuching kini pesat membangun dengan aktiviti ekonomi semakin rancak yang menjadikan bandar ini sebuah tarikan bagi warga Sarawak untuk bekerja di bandar. Kemasukan lebih ramai warga negeri ke bandar ini diikuti dengan perkhidmatan kenderaan awam yang kurang baik, telah menyebabkan lebih banyak orang mengguna kenderaan sendiri seperti motorsikal dan kereta. Untuk urusan tertentu. Salah satu masalah yang timbul ialah wujudnya kepadatan kawasan letak kereta dan terdapat banyak pengguna jalan raya telah meluahkan rasa kecewa dengan kesukaran yang berlaku akibat daripada keadaan ini. Malah, tidak ada jalan penyelesaian jangka panjang dalam menangani isu ini. Berdasarkan apa yang telah diperhatikan dan juga pendapat orang ramai mengenai masalah ini, Institute of Management Sarawak (MASA) melakukan kajian ringkas di sekitar bandar Kuching.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan ini, tiga lokasi telah dipilih untuk kajian ialah Bazaar Utama (Waterfront), Satok dan Padungan. Walaupun terdapat kawasan lain seperti Kenyalang Park dan Metrocity, kepadatan kawasan letak kereta tidak begitu sesak berbanding tiga lokasi yang telah dipilih. Hasil kajian mendapati bahawa ketiga-tiga kawasan ini merupakan lokasi yang rancak dengan aktiviti ekonomi dan pelancongan. Hal ini kerana terdapat ramai pengunjung yang memasuki ke kawasan yang mempunyai pelbagai barang keperluan dan tujuan seperti bank, pejabat, bahan rempah, makanan segar, restoran, kafe serta kedai pakaian. Malah terdapat kawasan yang menjadi tarikan pelancong, perhotelan dan pusat beli belah yang meningkatkan lagi jumlah pengunjung serta sebilangan lagi merupakan pekerja yang turut menggunakan kawasan letak kereta.

Berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang diperolehi daripada temubual bersama pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuching (DBKU) dan juga pihak polis, mereka menyatakan bahawa kepadatan kawasan tempat letak kereta berlaku pada waktu tertentu sahaja. Contohnya, Satok dan Padungan yang sibuk mulai jam 7.00 pagi sehingga 2.00 petang sahaja dan kawasan tersebut menjadi kosong terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu. Tindakan telah diambil seperti (pihak polis) mengenakan saman ke atas kenderaan yang melakukan kesalahan meletak kereta tetapi tindakan ini masih belum dapat mengurangkan tahap kepadatan di kawasan tersebut.

Kebiasaannya kepadatan kawasan letak kereta berlaku pada waktu tertentu sahaja iaitu pada jam 9.00 pagi sehingga 2.00 petang, seperti kawasan di Satok dan Main Bazaar yang mana banyak kenderaan seperti kereta, motorsikal dan lori telah memenuhi jalan raya. Kebanyakan pengguna di kawasan tersebut sekadar singgah untuk menghantar atau membeli barangan keperluan, sarapan dan makan tengahhari. Selain itu, terdapat juga sebilangan pengunjung yang tiba pada waktu malam atas tujuan riadah namun keadaan tidak begitu sesak berbanding pada waktu siang.

Keadaan yang sama turut berlaku di Satok yang padat dengan kenderaan seawal jam 9.00 pagi sehingga jam 2.00 petang. Kawasan ini merupakan sebuah pusat komersial yang terdiri daripada bank, restoran, pusat kewangan, kedai pakaian, bengkel kenderaan, perniagaan kecil serta pelbagai pejabat syarikat yang menyebabkan kepadatan kawasan letak kereta berlaku apabila ramai yang berkunjung ke kawasan ini. Selain itu, terdapat ramai pengunjung yang telah singgah ke Satok atas urusan perbankan, makan tenggahari dan juga membeli belah turut meningkatkan lagi kepadatan kawasan letak kereta di kawasan tersebut. Kesalahan meletakkan kenderaan kerap berlaku seperti double parking, yellow line parking, dan motorsikal yang mengambil ruangan letak kereta dan kesalahan ini telah menyebabkan kesukaran kepada pengguna yang lain. Selepas jam 2.00 petang, kawasan ini masih lagi sibuk tetapi tidak seperti pada waktu pagi yang mana kawasan letak kereta kurang padat.

Keadaan ini turut berlaku di Padungan yang mana jalan raya utama menjadi sesak apabila terlalu banyak kenderaan (terutamanya kereta) terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan. Kepadatan Kawasan letak kereta bermula seawal 7.00 pagi sehingga jam 2.00 petang kerana pengunjung mahu singgah bersarapan dan makan tengahhari. Namun keadaan kepadatan kawasan letak kereta mula berkurangan selepas waktu tersebut. Di kawasan ini, terdapat banyak restoran yang menjadi tarikan utama kepada pengunjung selain sebuah pasaraya yang menjadi tumpuan untuk mencari barang keperluan harian. Keadaan trafik di Padungan terlalu sesak sehingga mengambil masa yang lama untuk melalui kawasan ini terutamanya pada waktu tenggahhari.

Antara punca kepadatan kawasan letak kereta adalah kawasan letak kereta yang berdekatan dengan tumpuan pengunjung tidak mencukupi. Namun begitu, setelah beberapa siri pemerhatian dilakukan di kawasan lain seperti Main Bazaar dan Padungan, terdapat beberapa buah kawasan letak kereta yang disediakan seperti Taman Kereta, Saujana Parking, Medan Pelita dan juga Plaza Merdeka tetapi tidak digunakan sepenuhnya disebabkan kedudukan yang dianggap jauh daripada destinasi pengguna. Keadaan ini turut berpunca daripada sikap pengguna jalan raya sama ada mahu meletakkan kenderaan mereka ditempat yang telah disediakan atau meletakkan kenderaan berdekatan dengan destinasi yang hendak dituju. Kebanyakan warga Kuching bersikap mahu meletakkan kenderaan dekat dengan lokasi yang menjadi tumpuan mereka sahaja bahkan terdapat juga segelintir pengguna tidak mahu berjalan kaki atas faktor jarak yang dianggap jauh. Maka mereka memilih untuk melakukan kesalahan meletak kenderaan seperti double parking dan yellow line parking.

Malah terdapat segelintir pengguna motorsikal telah menganggu ruangan letak kereta apabila mahu meletakkan motorsikal berdekatan dengan destinasi mereka dan keadaan ini menyukar pengguna kereta sehingga ada yang terpaksa melakukan kesalahan meletak kereta. Selain itu, terdapat juga lokasi yang mempunyai kawasan letak kenderaan yang terhad serta sukar untuk membina kawasan letak kenderaan kerana ruang yang tidak mencukupi. Maka, berlakunya pelbagai jenis kesalahan meletak kenderaan akibat daripada kesukaran yang dihadapi seperti di Satok kerana lokasi tersebut semakin padat bagi bilangan pengguna yang semakin banyak.

Kurangnya tindakan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa seperti polis juga turut menjadi salah satu faktor penyumbang kerana pengguna jalan raya akan melakukan lebih banyak lagi kesalahan meletak kenderaan tanpa perlu risau akan kehadiran daripada pihak berkuasa. Malah, pihak berkuasa tempatan juga tidak mampu mengambil sebarang tindakan kerana isu sebegini luar daripada bidang kuasa mereka. Maka situasi ini menyukarkan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

Berikut adalah beberapa cadangan yang boleh diajukan menangani isu ini khasnya menganjurkan kempen kesedaran atau peringatan daripada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan seperti DBKU untuk membentuk sikap prihatin pengguna jalan raya serta mengalakkan pengguna jalan raya untuk merancang waktu berkunjung, contohnya pergi ke bank pada sebelah petang agar dapat mengurangkan kepadatan kawasan letak kereta di waktu pagi. Cadangan kedua ialah pihak polis hendaklah melakukan rondaan dengan lebih kerap dalam menangani masalah kesalahan meletak kenderaan agar dapat menimbulkan kesedaran terhadap para pemilik kenderaan. Seterusnya, memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan seperti DBKU bagi mewakili pihak polis untuk mengenakan kompoun kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan meletak kenderaan.

Keempat adalah mengkaji sistem pengangkutan awam dalam kawasan bandar agar dapat memudahkan perjalanan para pengguna. Secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan peribadi. Kerap melakukan promosi untuk menarik pengguna jalan raya meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kenderaan bertingkat sebagai usaha dalam mengawal kepadatan kawasan letak kereta yang sedia ada. Bagi menjayakan pelaksanaa ini, kerjasama daripada pelbagai pihak seperti polis, pihak berkuasa tempatan dan pemilik tempat letak kenderaan bertingkat amat diperlukan kerana dengan usahasama akan dapat mengurangkan kepadatan dan kesalahan di kawasan letak kereta.

Rujukan

Hossam El-Din I. S. Ahmed. 2017. Car Parking in Urban Areas, Causes and Solutions. 1st International

Conference on Towards a Better Quality of Life. 1-13.
https://ssrn.com/abstract=3163473.

Nancy Nais. (2019, November 11). Crowded streets: Vehicles in Kuching projected to increase 41.5 percent by 2030. DayakDaily.
https://dayakdaily.com/crowded-streets-vehicles-in-kuching-projected-to-increase-41-5-per-cent-by-2030/#:~:text=Based%20